AIR laut melimpah susulan fenomena air pasang dan hujan di Kota Kinabalu, 22 Disember lalu. FOTO arkib NSTP
AIR laut melimpah susulan fenomena air pasang dan hujan di Kota Kinabalu, 22 Disember lalu. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa air pasang besar dan banjir di Sabah menurun dengan 1,589 mangsa dilaporkan pagi ini berbanding 1,647 mangsa, petang semalam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, jumlah itu membabitkan 355 keluarga di Pitas, Kota Belud dan Sandakan.

Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Muhibbah Sembulan yang sebelum ini menempatkan 54 mangsa bencana air pasang besar dari Pulau Gaya turut ditutup.

"Penutupan PPS itu diisytiharkan pada 4.30 petang semalam dan semua mangsa sudah dihantar ke jeti Pulau Gaya untuk kembali ke kediaman masing-masing," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, katanya Pitas kekal mencatatkan mangsa tertinggi dengan 768 mangsa, disusuli Sandakan (686 mangsa) dan Kota Belud (135 mangsa).

Katanya, ketika ini sembilan PPS masih beroperasi dengan semua PPS terbabit masih menempatkan jumlah mangsa yang sama seperti semalam.

"Sebanyak enam PPS beroperasi di Pitas, iaitu Balai Raya Agropolitan Kampung Pinggan-Pinggan (297 orang), Dewan Kampung Mempakad (163 orang), Dewan Terbuka Kanpung Rosob (156 orang), Gereja SIB Kampung Luntuk (79 orang), Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinggan-Pinggan (57 orang) dan Dewan Terbuka Kampung Salimpodon (16 orang).

"Di Kota Belud, dua PPS masih beroperasi iaitu Dewan Sekoleh Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa (73 orang) dan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan (62 orang), manakala di Sandakan sebuah PPS masih aktif iaitu di SK Sungai Anib 2 (686 mangsa)," katanya.

Kelmarin, seramai 370 mangsa membabitkan 63 keluarga di Sandakan dilaporkan tinggal sehelai sepinggang apabila lebih 100 kediaman penempatan atas air di Kampung Forest roboh dilanda ombak dan air pasang besar.

Sebelum itu, seramai 210 orang daripada 39 keluarga dilaporkan menjadi mangsa fenomena sama di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 11:08 AM