ANTARA kawasan yang terjejas akibat banjir, semalam. FOTO ihsan Bomba
ANTARA kawasan yang terjejas akibat banjir, semalam. FOTO ihsan Bomba
BERNAMA

Kota Kinabalu: Dua sekolah rendah di Pitas, kira-kira 180 kilometer dari sini, masih ditutup kerana dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak petang Isnin lalu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kolonel (PA) Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata, menurut sumber yang diperoleh daripada Pegawai Pendidikan daerah Pitas, dua sekolah rendah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kusilad dan SK Sosop.

"Tiga sekolah yang sebelum ini ditutup iaitu SK Pinggan-Pinggan, SK Kesegaan dan SK Dallas dibuka seperti biasa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengenai keadaan banjir di lima kampung terlibat iaitu Kampung Salimpodon Laut, Kampung Salimpodon Darat, Kampung Sumbilingon, Kampung Dandung Darat dan Kampung Layang, Mulliadi Al-Hamdi berkata, paras air laut surut tetapi keadaan cuaca masih lagi hujan renyai.

Setakat 8 pagi tadi, paras air Sungai Kebatasan masih melebihi paras amaran 5.5 meter manakala Sungai Bengkoka pula ialah 3.65 meter melebihi paras amaran iaitu 3.0 meter.

"Tiada pusat pemindahan dibuka secara rasmi setakat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 10:07 AM