Seorang ibu, Latifah Ayuh  Zainal, 35, mendukung anaknya Zafrul Zubair, berusia setahun, bersama anak-anak saudaranya yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Chong Hua Kota Belud. FOTO BERNAMA
Seorang ibu, Latifah Ayuh Zainal, 35, mendukung anaknya Zafrul Zubair, berusia setahun, bersama anak-anak saudaranya yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Chong Hua Kota Belud. FOTO BERNAMA
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Bilangan mangsa banjir seluruh negara semakin menunjukkan penurunan dengan hanya 21,135 mangsa masih ditempatkan di 99 pusat pemindahan sementara (PPS).

Berdasarkan rekod dikemas kini Pusat Kawalan Bencana Banjir Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) setakat 6 pagi tadi, 6,706 keluarga di 18 daerah dari lima negeri masih belum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

"Seramai 12,786 mangsa daripada 4,393 keluarga ditempatkan di 29 PPS di Tumpat dan Pasir Mas, Kelantan.

"Di Terengganu, 5,812 mangsa daripada 1,652 keluarga di tempatkan di 42 PPS di tujuh daerah terjejas.

"Selain itu, jumlah mangsa di Perak tidak berubah apabila 69 orang daripada 18 keluarga masih berlindung di dua PPS di Bagan Datuk dan Hilir Perak," menurut kenyataan dikeluarkan agensi itu, pada 9 pagi ini.

Data itu turut menunjukkan jumlah mangsa di Sarawak juga tidak berubah dengan 1,481 orang daripada 386 keluarga masih ditempatkan di 14 PPS.

Di Sabah, jumlah mangsa juga masa sama berbanding sebelum ini iaitu seramai 967 orang daripada 255 keluarga masih berlindung di sembilan PPS di tiga daerah.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan tiga sungai seluruh negara mencatatkan bacaan aras air melepasi paras bahaya setakat 9.30 pagi ini.

Ia membabitkan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam, Selangor serta dua sungai di Kelantan iaitu Rantau Panjang, Pasir Mas serta Kampung Jambu (Kuala Jambu), Tumpat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 10:30 AM