ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama anjing pengesan di lokasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama anjing pengesan di lokasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Sudirman Mohd Tahir


Hulu Selangor: Petugas media diberi peluang untuk turun ke lokasi insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm Batang Kali, di sini, pada pagi, hari ini.

Sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak sembilan hari lalu bermula 16 Disember lalu, petugas media tidak dibenarkan masuk ke kawasan tragedi atas faktor keselamatan.

Di lokasi kejadian, sudah kelihatan empat anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diberi motivasi (reward) selepas tamat operasi.

Pegawai Bomba Kanan 1, Unit Pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohammed Sallme Ja'afar yang berada di lokasi berkata, semua anjing diberi masa lima hingga 10 minit untuk regangan sebelum SAR dijalankan.

"Sepanjang misi ini, sebelum memulakan SAR kesemua anjing diberi masa lima hingga 10 minit untuk buat regangan supaya tak penat.

"Kalau jumpa mayat, anjing akan diberikan penghargaan iaitu bola tenis.

"Kita lepaskan saja mereka (dan) anjing ini akan mula mengesan. Deria bau 400 kali lebih kuat dengan jarak lebih kurang lima hingga 10 kaki (1.5 hingga 3 meter), iaitu jarak tepat untuk dihidu," katanya kepada Harian Metro.

Selepas 10 hari, operasi SAR di lokasi kejadian ditamatkan secara rasmi 12 tengah hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 12:04 PM