Hulu Selangor: Laungan azan sekali lagi berkumandang di lokasi operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, di sini, hari ini.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook memaklumkan pelbagai ikhtiar digunakan pasukan Op SAR bagi mencari seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak lelaki yang masih hilang.
"Tiada istilah putus asa. Pelbagai ikhtiar digunakan dalam usaha pencarian mangsa tanah runtuh Batang Kali yang memasuki hari kelapan.
"Anggota pasukan Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAJD) melaungkan azan sebelum gerak kerja disambung," katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Op SAR diteruskan bermula 8 pagi tadi selepas dihentikan sementara susulan hujan lebat, petang semalam.
Semalam, Harian Metro melaporkan jumlah mangsa yang diisytiharkan semula secara rasmi seramai 92 individu daripada jumlah asal dianggarkan 94 individu.
Sebelum ini, polis menganggarkan seramai 94 mangsa terbabit dalam tragedi tanah runtuh berkenaan berdasarkan maklumat daftar masuk yang diperoleh daripada pihak pengurusan tapak perkhemahan terbabit.
Terdahulu, empat mayat terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita serta dua kanak-kanak masing-masing lelaki dan perempuan ditemui 11.04 pagi di sektor C (Riverside), di sini, semalam.
Semua mangsa berkenaan ditemui dalam khemah pada kedalaman tujuh meter.
Secara keseluruhan, seramai 92 individu terbabit dalam insiden berkenaan dengan 61 mangsa berjaya diselamatkan manakala 30 mangsa disahkan terkorban dengan seorang lagi mangsa masih hilang.