KERETA Proton Wira yang dinaiki pasangan suami isteri terbabas di di hadapan perpustakaan Desa Kampung Sawa, Jalan Sungai Tiang yang menyebabkan seorang maut. FOTO ihsan PDRM
KERETA Proton Wira yang dinaiki pasangan suami isteri terbabas di di hadapan perpustakaan Desa Kampung Sawa, Jalan Sungai Tiang yang menyebabkan seorang maut. FOTO ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Seorang lelaki meninggal dunia selepas kereta yang dipandu isterinya terbabas di hadapan perpustakaan Desa Kampung Sawa, Jalan Sungai Tiang, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi tadi, lelaki berusia 37 tahun yang juga penumpang hadapan kereta Proton Wira itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan tersepit.

Bagaimanapun, isteri mangsa berusia 36 tahun yang memandu kereta itu pula mengalami kecederaan parah di kepala dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, hasil siasatan awal mendapati, kereta terbabit dari arah Sungai Tiang menghala ke Pendang namun sebaik tiba di tempat kejadian, ia hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan.

Beliau berkata, penumpang hadapan kereta itu mengalami kecederaan serta tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

"Setakat ini, pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang sedang mengesan saksi kejadian.

"Sehubungan itu, kita memohon jasa baik orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan ini supaya tampil ke Pejabat BSPT Pendang bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Arriz Sham berkata, sebarang maklumat boleh disalurkan atau hadir ke pejabat BSPT Pendang dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Zamzurina Ahmad di talian 04-7592122.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 3:13 PM