SEORANG penduduk berjalan meredah banjir di Kampung Batu 24. Kuala Berang.  FOTO Ghazali Kori

SEORANG penduduk berjalan meredah banjir di Kampung Batu 24. Kuala Berang. FOTO Ghazali Kori

Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Tujuh daerah di Terengganu masih terjejas akibat banjir gelombang kelima apabila seramai 17,384 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Kesemua mangsa daripada 4,549 keluarga itu ditempatkan 86 PPS di seluruh Terengganu, kecuali daerah Marang yang pulih daripada banjir petang semalam.

Ia menunjukkan peningkatan berbanding petang semalam, dengan seramai 16,078 mangsa daripada 4,127 mangsa di 98 PPS.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, daerah Kemaman masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai.

Seramai 9,245 mangsa daripada 2,358 mangsa berada 27 PPS di daerah itu, berbanding 8,408 mangsa daripada 2,114 keluarga di 27 PPS, petang semalam.

Di Hulu Terengganu, mangsa banjir turut meningkat kepada seramai 3,835 orang membabitkan 969 keluarga dipindahkan ke 19 PPS.

Sebanyak 823 keluarga membabitkan seramai 2,795 mangsa berada di 24 di Dungun yang menjadi daerah ketiga tertinggi mencatatkan mangsa teramai.

Seramai 502 mangsa ditempatkan di lima PPS di Kuala Nerus, manakala empat PPS masih diaktifkan bagi menempatkan 490 mangsa di di Kuala Terengganu.

Di Besut, seramai 355 mangsa daripada 89 keluarga berada di empat PPS.

Setiu merekodkan jumlah mangsa terendah dengan 42 keluarga membabitkan 152 mangsa berada di tiga PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 9:17 AM