Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Rakyat negeri ini diminta patuh dengan arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa terutama membabitkan arahan untuk berpindah.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata, penduduk perlu mengambil langkah segera sekiranya diarahkan berpindah dan sebolehnya dilakukan ketika waktu siang.

Katanya yang turut menyeru seluruh rakyat untuk sentiasa peka kepada perkembangan dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan pihak berkuasa.

"Jabatan Meteorologi Malaysia sudah mengeluarkan ramalan terkini jam 12.30 tengahari tadi berkenaan perkembangan ramalan hujan lebat tahap bahaya di seluruh negeri Kelantan sehingga 21 Disember.

Paras air sungai utama di Kelantan juga menunjukkan peningkatan dan melepasi paras bahaya.

"Lima Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) sudah diaktifkan iaitu PKOB Pasir Mas, PKOB Jeli, PKOB Tanah Merah, PKOB Machang dan PKOB Pasir Puteh yang bertindak mengkoordinasikan pengurusan banjir negeri.

"Sehingga jam 1 tengahari tadi, jumlah mangsa banjir adalah seramai 3,011 membabitkan 893 keluarga yang ditempatkan di 29 Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau turut mengarahkan wakil rakyat bersama-sama Ketua Jajahan dan pegawai terutama di kawasan berisiko banjir supaya mengambil langkah proaktif dan cakna mengenai keselamatan dan kebajikan rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) dan jajahan masing-masing.

"Saya juga menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan supaya melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT supaya negeri kita tidak dilanda dengan banjir besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 3:59 PM