Kumpulan pesawah menunjukkan kawasan tanaman mereka yang digenangi air sejak semalam di Kampung Luar, Gual Periok, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Kumpulan pesawah menunjukkan kawasan tanaman mereka yang digenangi air sejak semalam di Kampung Luar, Gual Periok, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jentera kerajaan negeri bersiap siaga membantu mangsa banjir di Kelantan dengan kerjasama bersepadu daripada pasukan keselamatan, wakil rakyat dan sukarelawan.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, kerjasama itu untuk memastikan proses pemindahan dan agihan bantuan keperluan asas banjir kepada semua penduduk yang terjejas berjalan lancar.

Katanya, seluruh bilik gerakan banjir di bawah Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) setiap jajahan sudah berada dalam keadaan siap sedia.

"Ia berikutan keadaan hujan lebat berterusan serta angin kencang berdasarkan laporan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa Kelantan berhadapan banjir terutama di jajahan Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas, Gua Musang dan Kuala Krai.

"Sehingga 10 pagi tadi, sebanyak 26 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat jajahan iaitu Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Mas dan Jeli sudah dibuka. Ianya membabitkan 1,207 mangsa daripada 342 keluarga.

"Saya berharap seluruh rakyat Kelantan sentiasa berwaspada, patuh arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutamanya arahan untuk berpindah," katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.

Ahmad menasihatkan semua penduduk supaya meningkatkan kawalan kendiri, pastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi terutama ketika berada di pusat pemindahan.

"Sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar negeri kita dilindungi dan diberi keselamatan daripada banjir besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 2:44 PM