BALAI polis dan 15 Pos PGA di Rantau Panjang berdekatan Sungai Golok dilimpahi susulan banjir gelombang kedua. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
BALAI polis dan 15 Pos PGA di Rantau Panjang berdekatan Sungai Golok dilimpahi susulan banjir gelombang kedua. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan mencatatkan peningkatan kepada 4,520 orang setakat 3 petang ini berbanding 4,131 mangsa pagi tadi.

Ini berikutan jumlah mangsa dari jajahan Pasir Mas yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat.

Pada masa yang sama tiga PPS di jajahan Kuala Krai ditutup apabila mangsa pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan, mangsa banjir di Pasir Mas terus meningkat kepada 4,396 membabitkan 1,394 keluarga berlindung di 12 PPS.

Jumlah mangsa di Tanah Merah pula adalah 124 orang daripada 34 keluarga yang berada di satu PPS iaitu Sekolah Menengah Ugama (A) Kajang.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 10.33 meter (m), manakala Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat melepasi paras waspada (2.25m).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 3:41 PM