KEADAAN kereta dipandu mangsa selepas bertembung dengan pikap. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kereta dipandu mangsa selepas bertembung dengan pikap. FOTO Ihsan Pembaca
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Seorang lelaki menemui ajal dipercayai memandu kereta dalam keadaan mengantuk menyebabkan kenderaannya bertembung dengan pikap di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, petang hari ini.

Mangsa, Asmadi Awang, 44, berasal dari Kampung Bukit Pagar, Kuala Krai, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Bagaimanapun, pemandu pikap Toyota Hilux, Muhammad Azrul Amri Che Aziz, 24, bersama penumpang Khalil Yaacub, 34, hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian itu berlaku 4.30 petang dekat Felda Chiku 3.

Beliau berkata, mangsa yang memandu kereta Proton Waja seorang diri dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Katanya, apabila tiba di lokasi, kereta mangsa hilang kawalan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan pikap berkenaan.

"Kedua-dua kenderaan itu masing-masing berpusing atas jalan sebelum kenderaan pikap pula terbabas ke dalam longkang.

"Orang ramai membantu mengeluar mangsa yang berada di tempat duduk pemandu dalam kenderaan remuk itu," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, dua mangsa yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Chiku untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Katanya, mayat pemandu kereta Proton Waja di hantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 9:56 PM