ENAM mangsa yang cedera apabila Perodua Myvi (gambar kiri) terbabas dan menjunam ke dalam gaung di Kilometer 51 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
ENAM mangsa yang cedera apabila Perodua Myvi (gambar kiri) terbabas dan menjunam ke dalam gaung di Kilometer 51 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
Ramli Ibrahim


LELAKI warga emas maut manakala enam cedera apabila kereta Perodua Myvi yang mereka naiki terjunam dalam gaung di Kilometer 51 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat RKT Kesedar Paloh, pagi tadi.

Kejadian 7.15 pagi itu menyebabkan mangsa, Nik Soh Raja Bedullah, 68, duduk di bahagian penumpang hadapan maut di lokasi kejadian.

Mangsa yang cedera ialah pemandu kereta, Nik Muhammad Khairil Azmi Mohd Ashari, 26; Ramlah Ab Razak, 56; Nik Mohamad Eppi Nik Soh; 24, Nik Nur Shahira Mohd Sapiri, 13; Nik Atikah Nik Aziz, 21, dan Muhammad Irfan Rayyan Nik Mohamad Eppi, berusia 2 bulan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chiku 3.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, ketika kejadian keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Katanya, kereta Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan sebaik sampai di lokasi menyebabkannya terbabas ke kiri jalan sebelum menjunam ke dalam gaung sedalam lima meter.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan Nik Soh cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan.

Beliau berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 4:21 PM