Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai susunan perancangan mikro yang berlandaskan pengalaman lalu sebagai persediaan menghadapi banjir yang sedang melanda di beberapa negeri ketika ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah turut diberi taklimat mengenai kesiapsiagaan banjir dalam lawatan kerja pertama mereka di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

"Persediaan menghadapi banjir mengikut prosedur operasi stabil (SOP) seperti biasa yang berpandukan kepada pengalaman lepas.

"Dari sudut keterlibatan dalam mewujudkan pusat pemindahan sementara (PPS), saya dimaklumkan terdapat lebih 800 pusat pemindahan disediakan berbanding lebih 400 PPS pada musim monsun timur laut lalu.

"Jadi berasaskan pengalaman lalu, mereka unjurkan keperluan logistik pusat pemindahan sementara yang kita anggap paling penting iaitu point yang pertama selepas mangsa dikeluarkan," katanya pada sidang media selepas Lawatan Kerja di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Saifuddin berkata, PDRM sudah sepenuhnya bersedia dalam menghadapi banjir dengan persiapan turut mengambil kira keperluan mewujudkan PPS dengan jumlah yang munasabah.

"Misalnya di Kelantan, tumpuan sekarang adalah di Sungai Golok iaitu sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang. Namun mengikut pengalaman lepas, selesai (banjir) Rantau Panjang dengan Pasir Mas, air itu mesti sampai ke Tumpat.

"Dari situ, kita boleh baca corak banjir setiap kali musim monsun timur laut. Jadi persiapan kita sekarang ini adalah menggerakkan anggota di kawasan itu tanpa mengabaikan tempat lain," katanya.

Beliau berkata, PDRM akan menjalankan tugas hakiki mereka menjaga harta benda penduduk yang berpindah ke PPS selain membantu dalam operasi penyelamatan.

"Tidak syak lagi tugas hakiki pasukan polis dalam apa keadaan sekalipun adalah menjaga harta benda orang ramai termasuk pada musim banjir ketika rumah mangsa ditinggalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 2:56 PM
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman. FOTO ASYRAF HAMZAH
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman. FOTO ASYRAF HAMZAH