GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching : Sebanyak 627 pusat pemindahan sementara (PPS) disediakan di Sarawak bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka mencetuskan banjir.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, semua PPS terbabit sedia dibuka bila-bila masa dan mampu menempatkan seramai 162,091 mangsa banjir.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) persediaan rapi itu dilaksanakan berikutan permulaan Fasa Peralihan Monsun pada 19 September lalu selepas berakhirnya Monsun Barat Daya (MBD) yang bermula sejak 15 Mei lalu.

"Dalam tempoh peralihan MTL, ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

"Justeru, JPBNS bersedia dari segi kekuatan sumber manusia, aset logistik dan bantuan makanan bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlakunya bencana banjir dan hujan lebat dibawa angin MTL seluruh Sarawak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Uggah berkata, JPBNS menerusi agensi tindak balas seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini mempersiapkan kekuatan sumber manusia seramai 5,501 bagi melaksanakan tanggungjawab jika bencana melanda.

"Kekuatan anggota itu dibantu dengan aset logistik sebanyak 487 aset darat, 249 aset laut dan sungai, 12 aset udara dan 207 aset sokongan yang sentiasa berada di dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi fasa peralihan monsun ini.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah memastikan bekalan bantuan bencana mencukupi di semua depoh simpanan, stor pejabat dan juga di pangkalan hadapan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata JPBNS menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dalam tempoh peralihan monsun dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 5:20 PM