FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan aset ke semua kawasan yang terjejas banjir dan kawasan yang berisiko tinggi berlakunya banjir.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, Ketua Polis Daerah (KPD) di setiap kawasan sudah menggerakkan aset ke lokasi banjir.

"Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) pula akan digerakkan bagi membantu pasca banjir di kawasan terjejas.

"Kita sentiasa bersiap siaga untuk menggerakkan kekuatan operasi bagi menghadapi bencana banjir, terutamanya ketika Monsun Timut Laut (MTL)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk menggerakkan aset-aset terdiri 503 bot banjir, treler bot (206) ; lori (497) ; kereta pacuan empat roda (802) dan van/ambulans (17) bagi menghadapi MTL.

Katanya, sebanyak 6,028 jaket keselamatan dan lapan pesawat udara turut akan digerakkan mengikut keperluan dan perkembangan semasa bencana.

"Secara keseluruhan, terdapat lima agensi kerajaan termasuk PDRM yang akan ditugaskan untuk menghadapi MTL dengan jumlah kekuatan keseluruhan seramai 61,839 orang.

"PDRM juga bekerjasama rapat dengan agensi-agensi keselamatan lain untuk memastikan setiap misi bantuan dan menyelamat mangsa dapat dilaksanakan dengan pantas," katanya.

Setakat hari ini, sebanyak 12 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Selangor dan Perak masing-masing di daerah Petaling Jaya, Gombak, Hulu Selangor, Sepang, Hulu Langat, Hilir Perak dan Kerian.

Seramai 822 mangsa banjir kini dipindahkan di PPS yang disediakan susulan kawasan kediaman mereka mula dinaiki air sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 1:18 PM