GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Roselan Ab Malek


Temerloh: Polis mengesan lelaki dipercayai berusia 30-an bagi membantu siasatan kes cubaan merogol seorang wanita di laluan pejalan kaki di Taman Tasik Kubang Gajah di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa berusia 27 tahun selesai bersenam di kawasan itu.

Katanya, tiba-tiba wanita itu didatangi seorang lelaki yang memakai pelitup muka yang cuba merogol mangsa.

"Mangsa berjaya melepaskan diri daripada suspek dan wanita itu kemudiannya ke balai polis untuk membuat laporan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan melakukan rogol," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Azhar berkata, hasil siasatan, polis berjaya membuat lakaran suspek, yang dipercayai berusia 30-an dengan ketinggian kira-kira 170 sentimeter dan berkulit gelap.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati semasa menjalankan aktiviti riadah terutamanya di tempat sunyi selepas lewat petang.

Selain itu, orang ramai hendaklah melakukan aktiviti itu secara berkumpulan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 11:05 AM