FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tindakan pantas jiran dan pekerja penghantar makanan yang melihat lelaki menceroboh rumah seorang wanita di Putrajaya berjaya menyelamatkannya daripada menjadi mangsa rogol semalam.

Dalam kejadian pada 2.51 petang itu, suspek berusia 32 tahun itu dilaporkan mengekori mangsa, 23, dari dalam lif hingga ke rumahnya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, apabila tiba di hadapan rumah, lelaki terbabit terus mengacu pisau menyebabkan mangsa yang ketakutan masuk ke dalam rumah dan memanggil rakannya.

Menurutnya, namun suspek bertindak masuk ke dalam bilik mangsa dan mengunci pintu.

"Bagaimanapun mujur pekerja penghantar makanan yang kebetulan tiba untuk menghantar makanan bersama jiran membantu menahan suspek.

"Siasatan awal keluarga menyatakan suspek mengalami masalah kesihatan mental sejak beberapa tahun ini dan tidak bekerja," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Kamsiah berkata, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 1:53 PM