GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norizuan Shamsuddin


WANITA warga Rohingya berdepan detik hitam apabila dibelasah dan dirogol bergilir-gilir dua rakan senegara yang menceroboh masuk ke kediamannya di Manir, Kuala Terengganu, Rabu lalu.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 30-an sedang berehat bersendirian di luar rumah sebelum didatangi dua lelaki dikenali kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, wanita terbabit yang menyedari kehadiran dua lelaki berkenaan tidak sempat berbuat apa-apa apabila salah seorang suspek terus meluru ke arah mangsa dan menarik tangan sambil menutup mulut mangsa.

“Apabila mangsa meronta minta dilepaskan, suspek terus memukul wanita terbabit manakala rakan suspek pula mengangkat wanita itu masuk ke dalam rumah sebelum merogol mangsa di ruang tamu.

“Malah, suspek turut meminta mangsa supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa sebelum melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, susulan kejadian itu, mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan dua suspek tampil membuat laporan di Balai Polis Manir, pada hari sama untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis juga sudah melakukan siasatan di lokasi dan mengambil beberapa barangan sebagai bukti termasuk pakaian mangsa ketika kejadian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sudah menahan dua suspek di Manir, Khamis lalu.

“Dua suspek berusia 20-an berjaya ditangkap sehari selepas laporan diterima dan mereka kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 4:57 PM