DATUK Seri Mohamad Hasan bersalaman dengan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari pada Majlis Lapor Diri Timbalan Menteri Pertahanan di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
DATUK Seri Mohamad Hasan bersalaman dengan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari pada Majlis Lapor Diri Timbalan Menteri Pertahanan di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Alor Gajah Adly Zahari memulakan tugas secara rasmi sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, hari ini.

Beliau yang tiba di Kementerian Pertahanan (Mindef) di sini, pada jam 3.15 petang disambut Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Norazlan Aris mewakili Panglima Tentera Udara.

Selain itu, Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom.

Adly kemudian menerima tabik hormat dan membuat pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) bertempat di Foyer Wisma Pertahanan berikutan cuaca hujan.

KKU disempurnakan oleh tiga pegawai dan 103 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) diketuai Mejar Mod Syahril Jopri.

Adly, 51, kemudian mengimbas kad E-Rakam Mindef sebagai simbolik menandakan permulaan tugas di Mindef.

Beliau seterusnya membuat kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan sempena hari mula tugas sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.

Beliau juga diberikan gambaran menyeluruh berkaitan dasar, polisi dan peranan Mindef dan ATM dalam mendukung agenda nasional menerusi satu sesi Taklimat Eksekutif yang disampaikan oleh Muez dan Affendi.

Adly adalah Timbalan Menteri Pertahanan Ke-14 yang memegang jawatan itu sejak Mindef ditubuhkan pada tahun 1978.

Pelantikan Adly sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan selesai disempurnakan pada 10 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 4:58 PM