Raja Noraina Raja Rahim


MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tekad meneruskan agenda Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang diluluskan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, kerajaan kekal komited dalam memastikan pertahanan negara terus diperkukuh dan diperkasakan untuk tempoh sepuluh tahun akan datang seperti yang digariskan dalam KPP.

Katanya, KPP akan menjadi panduan utama Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam membuat sebarang perancangan dan pelaksanaan.

“Ini adalah bukti kerajaan yang baru terbentuk ini matang dan sentiasa mengamalkan demokrasi.

“Pertahanan negara adalah satu agenda tidak boleh dikompromi dan setiap dasar yang dipersetujui di Parlimen akan dilaksanakan sebaik mungkin oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri memulakan tugas sebagai Menteri Pertahanan di MINDEF hari ini, selepas mengangkat sumpah jawatan itu dua hari lalu.

KPP bertajuk ‘Malaysia yang Selamat, Berdaulat dan Makmur’ dibentangkan oleh bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, 2 Disember tahun lalu dan diluluskan oleh Dewan Rakyat.

KPP membabitkan lapan mesej utama itu dibentangkan bagi memperbaharui Dasar Pertahanan Negara (DPN), agar strategi dan keupayaannya seiring dan relevan dengan perubahan persekitaran keselamatan global.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kementeriannya akan memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan ATM, pengukuhan pertahanan secara komprehensif melalui pendekatan seluruh kerajaan dan masyarakat serta perkongsian berwibawa dengan negara luar.

Tambah beliau, perhatian terhadap kebajikan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta warga awam bertugas di MINDEF juga akan terus diberi keutamaan.

“Saya berharap warga MINDEF memberi kerjasama penuh dan sokongan padu kepada saya dan timbalan (Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz) dalam menguruskan pertahanan negara.

“Saya percaya dengan khidmat dan nasihat Ketua Setiausaha, Datuk Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta semua peringkat kepimpinan, kami dapat melaksanakan tugas dengan berkesan demi negara yang tercinta,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Kertas Putih Pertahanan bukan untuk dihina
  • Askar pintar untuk masa depan
  • Kertas putih pertahanan ke Parlimen 2 Disember
  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu

  • Barisan Kabinet baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 11:14 AM