YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan mengurniakan Panglima Gagah Angkatan Tentera kepada Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain. FOTO Bernama
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan mengurniakan Panglima Gagah Angkatan Tentera kepada Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) 2021 menyaksikan Zamrose mendahului senarai 210 penerima pingat pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, hari ini.

Pada istiadat itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan darjah PGAT kepada Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Turut berangkat mengiringi Seri Paduka yang juga Pemerintah Tertinggi ATM ke istiadat pengurniaan darjah itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada istiadat itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 31 penerima, Pahlawan Angkatan Tentera (56 penerima), Kesatria Angkatan Tentera (67 penerima) dan Bentara Angkatan Tentera (53 penerima).

Penganugerahan Pingat DKAT diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan di atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan di dalam perkhidmatan ATM.

Istiadat DKAT tahun ini diadakan selepas kali terakhir berlangsung pada 2019 dan tidak dapat diadakan pada 2020 berikutan penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh negara.

Istiadat hari ini dilaksanakan dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti dan protokol penganjuran sesuatu majlis rasmi bagi mengekang penularan Covid-19.

Turut hadir, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 2:34 PM