FOTO Ihsan LUAS
FOTO Ihsan LUAS
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan agensi berkaitan akan terus melaksanakan pemantauan berikutan insiden pencemaran bau di muka sauk Jenderam Hilir, Dengkil yang berlaku kelmarin berisiko untuk berulang.

Ia susulan aliran pencemaran yang sama di kesan di Sungai Semenyih pada jam 5.50 petang semalam.

Terdahulu, pencemaran bau sehingga empat ton dikesan di muka sauk pada jam 11 malam pada Selasa lalu yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan Bukit Tampoi henti tugas sementara.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata, setakat ini lokasi sebenar punca pencemaran bau adalah di luar negeri ini yang masih dalam siasatan serta sedang dikenalpasti pihak berkuasa Negeri Sembilan.

"Justeru, LUAS dan agensi berkaitan akan terus melaksanakan pemantauan berikutan insiden pencemaran bau di muka sauk Jenderam Hilir, Dengkil itu berpotensi untuk berulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan pencemaran bau yang dikesan petang semalam, LUAS bersama pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengaktifkan pemantauan rapi bermula pada jam 6.30 petang.

"Aliran tercemar berkenaan dikenal pasti memasuki sungai di kawasan negeri ini melalui pemantauan statik LUAS di jambatan Sungai Pajam bermula jam 7 petang.

"LUAS mempertingkatkan pemantauan rapi melalui pensampelan dengan kekerapan lebih tinggi iaitu setiap 15 minit pada jarak 1.5 kilometer (km) daripada muka sauk Jenderam Hilir bagi mengesan aliran terbabit.

"Air Selangor pula melaksanakan pemantauan rapi di muka sauk Jenderam Hilir dan bersiap siaga untuk mengaktifkan penutupan sementara operasi muka sauk bagi mengelakkan aliran pencemaran memasuki sistem loji yang boleh mengakibatkan impak henti tugas LRA lebih besar," katanya.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata situasi semasa Sungai Semenyih dan kawasan persekitaran yang menerima hujan lebat dengan aliran air sungai tinggi membantu mempercepatkan pencairan pencemaran di dalam sungai.

Katanya sehingga jam 6 pagi tadi, tiada pencemaran bau dikesan di lokasi strategik pensampelan oleh LUAS termasuk di kawasan muka sauk Jenderam Hilir.

"Pemantauan ditamatkan pada jam 6 pagi hari ini selepas tiada risiko henti tugas LRA disahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 8:31 PM