KEADAAN kilang baja kompos yang diserbu dalam operasi bersepadu. FOTO ihsan JABATAN ALAM SEKITAR
KEADAAN kilang baja kompos yang diserbu dalam operasi bersepadu. FOTO ihsan JABATAN ALAM SEKITAR
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan sejenis pelarut kimia yang dibuang ke sungai Semenyih sekaligus berjaya menangani dan mengawal pencemaran di lokasi itu semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan & Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, LUAS menerima laporan daripada Pengurusan Air Selangor berhubung insiden pencemaran bau sehingga 3 ton dikesan di River Monitoring Station (RMS) Kampung Sungai Buah, Dengkil jam 4 petang kelmarin.

Katanya, melalui pemantauan Ops Sumber Air Negeri Selangor, LUAS bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Suruhanjaya Air Negara (SPAN) dan Air Selangor mengaktifkan siasatan ke beberapa lokasi bagi mengenal pasti punca pencemaran itu.

"LUAS mengaktifkan Kod Merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh ke kawasan itu di hulu muka sauk yang berisiko menyebabkan henti tugas loji rawatan air (LRA) Semenyih.

"LUAS menjalankan siasatan ke kawasan yang disyaki menyebabkan insiden pencemaran bau iaitu aliran air di 'sump' berhampiran premis kilang di kawasan berhampiran Sungai Rinching sekitar 16 kilometer dari muka sauk Jenderam Hilir.

"Persampelan ujian bau dilaksanakan di 'sump' itu dan mendapati terdapat bau seakan solvent (pelarut) yang turut dikesan di aliran pertemuan ke Sungai Rinching," katanya tadi.

Menurutnya, inisiatif pencegahan dipertingkatkan oleh LUAS dengan meletakkan 14 beg Activated Carbon (Serbuk Karbon Teraktif) di dua lokasi aliran 'sump' berhampiran premis itu untuk mengawal sebarang pencemaran ke Sungai Semenyih.

"Penemuan terkini pada jarak 300 meter dari premis itu juga terdapat aliran air di 'sump' yang mempunyai bau sama sebelum pelepasan ke Sungai Rinching.

"Pemantauan rapi dari semasa ke semasa masih diteruskan oleh pihak LUAS bersama agensi-agensi berkaitan," katanya.

Loy Sian berkata, LUAS juga menjalankan pemantauan statik dan persampelan di dua kawasan iaitu di Jambatan Ladang Bukit Unggul dan Jambatan Kampung Rinching Hilir.

"Persampelan ujian bau dijalankan setiap satu jam. Pensampelan ujian bau yang dijalankan berdasarkan pemantauan statik menunjukkan keadaan air sungai kelihatan normal dan bacaan bau adalah sifar (0) ton.

"Pihak JAS turut menjalankan pemantauan kualiti udara di takat pelepasan akhir premis disyaki dan mengesan beberapa parameter Sebatian Organik Meruap (VOC) yang baunya seakan analisa dikeluarkan pihak Air Selangor pada insiden 31 Ogos lalu.

"Susulan itu, pihak JAS mengeluarkan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) kepada premis disyaki di bawah Seksyen 38 (1) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS) untuk siasatan lanjut selama dua minggu," katanya.

"LUAS tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada pelaku selaras Seksyen 79(1) (a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020; di mana sebarang pencemaran sumber air apabila disabitkan kesalahan akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan didenda tidak kurang daripada RM200 ribu dan tidak melebihi RM 1 juta," katanya.

Beliau berkata, Air Selangor di dalam kenyataan turut memaklumkan proses rawatan di LRA Sungai Semenyih dimulakan agar air terawat yang bersih dan selamat dapat diagihkan kepada para pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 4:20 PM