FOTO Facebook Lembaga Urus Air Selangor
FOTO Facebook Lembaga Urus Air Selangor

Norzamira Che

Shah Alam: Masalah bekalan air terawat dibimbangi berlaku susulan kejadian tumpahan minyak membabitkan kilang minyak sawit mentah di Semenyih.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan menerima laporan insiden itu jam 7 petang semalam yang berisiko menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, terdapat tompokan minyak dikesan pada kawasan aliran longkang keluar premis berkenaan hasil siasatan LUAS.

"LUAS sudah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan berisiko menyebabkan henti tugas LRA. Jarak lokasi siasatan ke muka sauk LRA Sungai Semenyih adalah 15.9 kilometer.

"LUAS juga sudah dimaklumkan oleh wakil daripada premis bahawa insiden berlaku disebabkan terdapat masalah teknikal pada sistem tangki simpanan sehingga mengakibatkan berlaku limpahan minyak yang keluar daripada tangki pemprosesan kilang.

"Inisiatif pencegahan dipertingkatkan dengan pihak LUAS dengan meletakkan serbuk karbon teraktif di kawasan aliran air keluar dari kilang untuk mencegah sebarang pencemaran ke Sg. Rinching," katanya.

FOTO Facebook Lembaga Urus Air Selangor
FOTO Facebook Lembaga Urus Air Selangor

Beliau berkata, LUAS turut meneruskan pemantauan di sepanjang aliran keluar air menuju ke Sungai Rinching dan hasil semakan mendapati terdapat kesan tompokan minyak yang sudah mengalir masuk ke dalam sungai.

Justeru katanya, LUAS bertindak memasang 'oil boom' bagi meminimakan dan menghalang aliran sisa minyak dari terus memasuki Sungai Rinching dan seterusnya ke Sungai Semenyih.

"Tiada kesan bau minyak dikesan di dalam sumber air mentah. Tindakan pantas kawalan di tapak berjaya mengelakkan henti tugas LRA Sungai Semenyih dan tiada berlaku gangguan bekalan air kepada pengguna.

"Selain itu, wakil premis berkenaan memaklumkan, premis sudah mengambil tindakan awal dengan menghentikan operasi dan membuat sekatan pada kawasan aliran bagi menghalang aliran sisa minyak itu.

"Kerja-kerja pembersihan dan penyedutan baki minyak yang bertakung di dalam aliran di kawasan premis bagi mengelakkan berlakunya limpahan dijangka selesai dalam tempoh 24 jam," katanya.

Loy Sian berkata, LUAS akan melaksanakan pemantauan statik di Sungai Rinching dan pemantauan susulan terhadap kerja-kerja pembersihan yang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 5:59 PM