KAKITANGAN LUAS di lokasi yang dipercayai berlaku pencemaran. FOTO Ihsan FB LUAS
KAKITANGAN LUAS di lokasi yang dipercayai berlaku pencemaran. FOTO Ihsan FB LUAS
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebuah kilang selenggara jentera berat dipercayai menjadi punca pencemaran bau seakan diesel di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih (Jenderam Hilir), awal pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima maklumat mengenai pencemaran itu daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd pada jam 8.45 pagi.

Beliau berkata, siasatan LUAS berhampiran sebuah premis kilang yang menyelenggara jentera berat mendapati terdapat pelepasan efluen yang mengandungi air basuhan termasuk cecair seperti minyak yang disyaki mengalir masuk ke pembentung (culvert) sebelum memasuki Sungai Semenyih.

"Sehubungan itu, LUAS sudah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh.

"Inisiatif pencegahan dipertingkatkan dengan meletakkan empat beg serbuk karbon teraktif (Activated Carbon) dan 'oil boom' bagi menahan sisa minyak daripada masuk ke dalam Sungai Semenyih," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hee berkata, pensampelan yang dijalankan oleh LUAS di kawasan titik pelepasan yang terbabit juga sudah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisa.

Katanya, anggaran jarak lokasi pencemaran adalah 1.5 kilometer (km) di hulu muka sauk Jenderam Hilir.

"Tindakan kawalan segera di tapak dalam tempoh kurang empat jam membolehkan LRA Sungai Semenyih beroperasi semula pada jam 12.30 tengah hari tadi," katanya.

Beliau berkata, LUAS juga menjalankan pemantauan statik bermula pada jam 2 petang di aliran pertemuan di Sungai Semenyih.

Katanya, pensampelan ujian bau dijalankan setiap satu jam dan menunjukkan keadaan air sungai kelihatan normal dan bacaan bau adalah sifar (kosong) ton.

"Pemantauan rapi dari semasa ke semasa masih diteruskan oleh LUAS bersama agensi berkaitan.

"Majlis Perbandaran Sepang (MPS) turut memaklumkan premis kilang yang menyelenggara jentera berat itu akan disita dan LUAS juga sudah membuat satu laporan polis di Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam.

"Sekiranya disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta dan penjara tidak kurang tiga tahun boleh dikenakan malah surat arahan mengikut Seksyen 121(1) Enakmen yang sama dikeluarkan kepada premis berkaitan bagi pembersihan lokasi pencemaran serta merta.

"Insiden ini adalah berlainan daripada semalam yang membabitkan pencemaran air berbuih di Kampung Rinching Tengah, Semenyih dan berjaya ditangani oleh LUAS sebelum ia menjejaskan operasi LRA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 8:08 PM