FOTO Facebook LUAS
FOTO Facebook LUAS
Norzamira Che Noh

om.my

Shah Alam: Dua Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sementara berikutan pencemaran bau sehingga empat ton yang dikesan di muka sauk Jenderam Hilir pada jam 11 malam tadi.

Bagaimanapun, kedua-dua loji berkenaan kini sudah kembali beroperasi pada jam 1.30 pagi dan 8 pagi ini.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata operasi LRA Semenyih dihentikan pada jam 11.15 malam manakala Bukit Tampoi pada jam 2 pagi.

Menurutnya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berhubung pencemaran sungai berbuih di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan.

"Ia disyaki berpunca daripada pelepasan oleh premis kilang di kawasan perindustrian berdekatan sekitar jam 8 malam.

"Siasatan segera LUAS mendapati keadaan Sungai Batang Benar masih berbuih dan bau seakan sabun dikesan di lokasi berkenaan.

"Pemantauan statik LUAS di hilir di dalam kawasan Negeri Selangor iaitu di Sungai Semenyih dan Sungai Buah mendapati keadaan adalah normal dan tiada bau dikesan manakala pensampelan bau yang dilakukan oleh LUAS di Kampung Rinching Hilir di Sungai Semenyih juga mencatatkan kosong ton.

"Bagaimanapun berdasarkan makluman daripada pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), pencemaran bau sehingga empat ton dikesan di muka sauk Jenderam Hilir pada jam 11 malam justeru operasi LRA Semenyih terpaksa dihentikan sementara pada jam 11.15 malam tadi diikuti dengan LRA Bukit Tampoi pada jam 2 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemantauan statik LUAS pada jarak 1.5 kilometer daripada muka sauk Jenderam Hilir dipertingkatkan kepada setiap 30 minit bagi memantau rapi status pencemaran bau berkenaan.

Katanya, berdasarkan pemantauan bacaan kosong ton direkodkan secara konsisten dan trend penurunan pencemaran bau di muka sauk Jenderam Hilir juga dicatatkan bermula jam 12.30 tengah malam.

"Kedua-dua LRA berkenaan beroperasi semula selepas bacaan bau mencatatkan kosong ton secara konsisten dengan tiga kali pensampelan.

"Menurut pihak Air Selangor gangguan bekalan air adalah minimum, dan kawasan terbabit pulih sepenuhnya pada jam 9.30 pagi," katanya.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, kejadian pelepasan air berbuih di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan itu disyaki berlaku awal petang semalam ketika hujan lebat.

"LUAS sudah berhubung dengan JAS Selangor untuk tindakan susulan siasatan selanjutnya oleh pihak JAS Negeri Sembilan berikutan lokasi insiden tersebut berada di luar kawasan negeri ini dan membabitkan kawasan perindustrian," katanya.

Dalam pada itu, Loy Sian turut menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen LUAS 1999.

"Kerajaan Selangor dan LUAS menyeru kepada semua agar prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri terutamanya, dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada LUAS untuk diambil tindakan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 1:55 PM