LUAS kesan air Sungai Gong, Rawang berbuih dan berbau seakan sabun susulan kebakaran sebuah kilang gudang plastik dekat Sungai Bakau. FOTO IHSAN LUAS
LUAS kesan air Sungai Gong, Rawang berbuih dan berbau seakan sabun susulan kebakaran sebuah kilang gudang plastik dekat Sungai Bakau. FOTO IHSAN LUAS
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan air Sungai Gong, Rawang berbuih serta berbau seakan sabun sekitar jam 11 pagi semalam susulan insiden kebakaran membabitkan sebuah premis kilang gudang plastik dekat Sungai Bakau.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada jam 3 pagi dan kerja memadam kebakaran selesai dijalankan pada jam 4 petang semalam.

Katanya, siasatan LUAS mendapati, air sisa pemadaman kebakaran itu memasuki aliran longkang yang berhampiran dan seterusnya ke Sungai Gong.

"LUAS kemudian mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terbabit yang berisiko menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang.

"Anggaran jarak lokasi insiden berkenaan ke muka sauk Rantau Panjang adalah 13 kilometer (km) dengan tempoh perjalanan sembilan jam untuk pencemaran sampai ke muka sauk berkenaan.

"Pensampelan bau yang dilaksanakan di dua lokasi berbeza iaitu di Sungai Sembah dan Sungai Selangor mencatatkan kadar bau sifar ton sehingga jam 2.30 petang (semalam).

"Bagaimanapun, peningkatan bau sehingga satu ton dikesan pada jam 6.30 petang di jambatan Sungai Sembah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu katanya, LUAS meningkatkan inisiatif pencegahan dengan meletakkan tujuh beg Activated Carbon (Serbuk Karbon Teraktif) di alur longkang sebelum ke Sungai Bakau sebagai langkah kawalan pencegahan pencemaran.

Jelasnya, LUAS juga sudah mengaktifkan Operasi Pengepaman Air Kolam, Bestari Jaya dan HORAS 600 dengan jumlah kapasiti 1070 juta liter sehari (JLH) pada jam 6.30 petang bagi tujuan untuk meningkatkan faktor pencairan (dilution factor) sungai.

"Langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dengan pemantauan statik di Sungai Sembah juga dilaksanakan dan sehingga jam 9.30 malam tadi, pihak Air Selangor mengesahkan bacaan bau di LRA adalah sifar ton serta tiada gangguan kepada operasi LRA Rantau Panjang serta LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan SSP3," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 2:17 PM