GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-24 menyaksikan seramai 6,067 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, esok.

Istiadat konvokesyen akan berlangsung sebanyak sembilan sesi sehingga 9 Disember depan dan majlis perasmian akan disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata UPSI akan menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 6,067 graduan termasuk lapan yang menerima secara anumerta.

Menurutnya, pada sesi pertama esok pagi, Canselor, Tuanku Zara Salim berkenan merasmikan majlis istiadat seterusnya menyampaikan anugerah ijazah kepada 586 graduan.

"Jumlah ini merangkumi 123 graduan Ijazah Doktor Falsafah, 191 Ijazah Sarjana dan 272 Ijazah Sarjana Muda dan bakinya pada sesi kedua hingga kesembilan.

"Baginda akan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Prof Datuk Dr Noraini Idris yang bergiat aktif dalam bidang STEM (Science, Technology, Engineering, and Math).

"Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPSI, dan juga pernah menjadi editor jurnal bertaraf antarabangsa

"Selain itu, beliau juga berjaya menghasilkan lebih 30 buku secara bersendirian dan bersama rakan penyelidik bagi memantapkan ilmu," katanya dalam satu kenyataan ,hari ini.

Di samping itu, pelakon dan artis Arja Lee yang mengikuti pengajian di bawah Fakulti Muzik Dan Seni Persembahan (FMSP) akan menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan.

"Saya berharap semua keluarga yang membawa graduan berhati-hati memandu dan semoga tiba di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City dengan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 7:37 PM