PROF Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, pada sidang media Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia ke 47. FOTO Fathil Asri
PROF Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, pada sidang media Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia ke 47. FOTO Fathil Asri
Amir Abd Hamid


Serdang: Seramai 6,051 graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) diraikan pada majlis Istiadat Konvokesyen kali ke-47 selama enam hari di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM, bermula hari ini.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Canselor UPM berkenan merasmikan istiadat konvokesyen itu.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, baginda mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Kewangan kepada Tan Sri Azman Hashim dan Profesor Emeritus kepada Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin dan Datuk Dr Abu Bakar Salleh serta Profesor Emeritus (Santum) kepada Allahyarham Datuk Dr Yaakob Che Man.

Beliau berkata, Sultan Sharafuddin juga akan menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.), Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma kepada graduan pada hari pertama majlis istiadat konvokesyen.

"Konvokesyen kali ini bakal menyaksikan sebanyak 6,051 graduan bagi tahun 2023 akan menerima ijazah dan diploma masing-masing.

"Daripada jumlah itu, 520 penerima merupakan graduan Ph.D, 1,532 Ijazah Sarjana, 3,988 Ijazah Sarjana Muda dan 11 penerima graduan Diploma.

"Hari ini 328 graduan dari pelbagai program pertanian juga menerima ijazah dan diploma masing-masing," katanya dalam kenyataan.

Ahmad Farhan berkata, pada sesi pertama, baginda akan menyampaikan beberapa anugerah termasuk Anugerah Pelajaran Diraja, Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Alumni, Anugerah Keusahawanan Shell Tiram Wawasan, Anugerah Tun Abdul Razak dan Hadiah Syed Kechik.

"Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputra) akan dianugerahkan kepada Nor Izwan Hakimi Nor Azmi program Bacelor Sains Biologi dengan Kepujian, Fakulti Sains dan Ong Jia Xin program Bacelor Sains Biologi Sel dan Molekul Dengan Kepujian, dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul akan menerima Anugerah Pelajaran Diraja (bukan Bumiputra)," katanya.

Beliau berkata, majlis graduasi itu juga akan disempurnakan oleh tiga Pro Canselor UPM, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sesi ketiga (27 November), Prof Emeritus Tan Sri Datuk Dr Syed Jalaluddin Syed Salim di sesi kedua (26 November) dan Prof Emeritus Datuk Dr Ir Muhamad Zohadie Bardaie pada sesi keempat (28 November), sesi kelima (29 November) dan sesi ketujuh (30 November).

Menurutnya, sebelum ini UPM baharu sahaja melaksanakan majlis konvokesyen sidang 1 di UPM Kampus Bintulu, Sarawak pada 4 November lalu dan pada sesi itu, seramai 487 graduan diraikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 1:08 PM