Dr Md Amin Md Taff (dua dari kiri) melihat buku karya Izran Mohamad Saaban (dua kanan) sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-24 UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah. FOTO ihsan UPSI
Dr Md Amin Md Taff (dua dari kiri) melihat buku karya Izran Mohamad Saaban (dua kanan) sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-24 UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah. FOTO ihsan UPSI
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Bagi membiayai kos pengajian dan kehidupan sebagai penuntut di universiti, Izran Mohamad Saaban, 27, menghasilkan buku bertajuk ' Ringkasan Ilmu Tajwid Al- Quran.

Kata graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam dengan Kepujian itu, lebih membanggakan, dia yang juga anak sulung daripada enam beradik memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.89.

Bukan itu saja malah dia juga menerima Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti.

Anugerah itu diterima sempena Majlis Istiadat Konvokesyen UPSI ke-24 yang disampaikan Canselor, Tuanku Zara Salim di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Izran yang sebelum ini berkelulusan diploma Pengajian Islam di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra berkata, dengan ilmu pengetahuan sedia ada mendorongnya menulis dan menghasilkan buku yang bukan sahaja mampu memberi manfaat malah membantunya meneruskan pengajian di UPSI.

Katanya, walaupun sibuk dengan tugasan dan kuliah namun ia tidak menghalangnya menulis buku berkenaan.

Sebagai penuntut, katanya, dia perlu bijak membahagikan dan memanfaatkan masa terluang.

"Saya bukan datang daripada keluarga senang dan banyak kos yang perlu ditanggung semasa belajar.

"Berbekalkan sedikit kemahiran serta modal daripada tabung pinjaman pendidikan dan dengan bantuan rakan-rakan, saya menghasilkan karya penulisan ringkas tentang ilmu Tajwid al-Quran.

"Alhamdulillah, buku yang saya tulis terjual lebih 17,000 naskah sepanjang empat tahun pengajian di UPSI sekali gus membantu menampung kos hidup semasa," katanya dihubungi.

Anak pesara pekerja am rendah sebuah sekolah rendah, Mohamad Saaban Abdul Rahman, 60, dan Guru Kafa, Rodiah Abdullah, 52, dari Kampung Sat Hilir, Tanah Merah, Kelantan ini pernah mendapat pendidikan di Markaz Nile, Kaherah, Mesir selama setahun dalam pengajian Bahasa Arab dan Talaqqi Al-Quran.

Izran menjual buku berkenaan secara dalam talian serta aktif menerima jemputan seminar tajwid di sekitar kawasan setempat.

Katanya, sepanjang pengajian, dia belajar pada waktu siang dam pada malam, bersengkang mata untuk menyiapkan buku berkenaan.

"Saya juga tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai penuntut malah bertekad untuk cemerlang dalam akademik," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff melahirkan rasa bangga dengan kreativiti Izran yang mengamalkan budaya keusahawanan semasa belajar lagi.

"Sememangnya Izran layak untuk menerima Anugerah Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti malah hasil karyanya itu sangat bermanfaat untuk masyarakat," katanya.

Caption:

1- TANJUNG MALIM 7 DISEMBER 2022.Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff (dua dari kiri) melihat buku karya Izran Mohamad Saaban (dua kanan) disaksikan Pendaftar, Helmi Zaifura Abdul Rahman (kanan) dan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril (kiri) sempena Majlis Istiadat Konvokesyen kali Ke-24 UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah.NSTP/Ihsan UPSI.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 3:01 PM