Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat tiba ke Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-16 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat tiba ke Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-16 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Kangsar: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-16 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan watikah pelantikan Pro-Canselor kepada bekas Naib Canselor USAS Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Sultan Nazrin kemudian menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah serta Ijazah Sarjana Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat (FPTM) serta Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana serta Diploma Pascasiswazah Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial (FPISS) kepada graduan.

Baginda juga berkenan menganugerahkan lima anugerah kecemerlangan akademik iaitu Anugerah Tuanku Canselor kepada Mohamed Aiedil Putera Sulaiman, 26, Anugerah Menteri Besar Perak kepada Muhammad Asyraf Mohd Zamri, 24, Anugerah Naib Canselor USAS kepada Aljazira Zainal, 20, Anugerah Terbaik FPISS kepada Luqman Haqim Awang Kecil, 23, dan Mohamad Syahrul Asad Ab Malik, 23, serta Anugerah Terbaik FPTM kepada Siti Nur Izzati Jumali, 23, dan Nurdania Fatihah Mohd Rohaizan, 20.

Terdahulu, Naib Canselor USAS Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof dalam sembah ucapannya berkata istiadat konvokesyen selama dua hari bermula hari ini itu mengurniakan ijazah dan diploma kepada 1,525 orang graduan.

Wan Sabri berkata ia membabitkan 12 penerima Ijazah Doktor Falsafah, 34 penerima Ijazah Sarjana, sembilan penerima Diploma Pascasiswazah, 778 penerima Ijazah Sarjana Muda, dan 692 penerima Diploma.

Beliau berkata istiadat konvokesyen itu juga adalah hari yang bersejarah buat USAS kerana berjaya melahirkan barisan graduan antarabangsa pertama daripada Ijazah Doktor Falsafah iaitu tiga orang dari Uganda dan seorang dari Thailand.

Di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda pula, katanya, USAS meraikan graduan pertama Ijazah Sarjana Pengurusan untuk Pembelajaran Jarak Jauh dalam talian serta Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Sementara itu, Wan Sabri berkata tindakan mengatasi ketandusan nilai dan krisis nilai adalah satu cabaran besar yang memerlukan perhatian serius semua pihak, menjadikan peranan pendidikan amat penting dalam membentuk akhlak serta nilai dalam diri setiap individu.

"Pendidikan adalah usaha sepanjang hayat, oleh itu kita perlu menggalakkan semangat pembelajaran berterusan dalam masyarakat kita. Inisiatif pembelajaran sepanjang hayat akan membentuk masyarakat yang lebih terbuka terhadap nilai-nilai baru dan perubahan positif," kata Wan Sabri.

Penerima Anugerah Tuanku Canselor, Mohamed Aiedil Putera (Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) yang berjaya mendapat anugerah dekan pada setiap semester dalam sembah ucapannya berkata dia menjadikan ibu bapanya sebagai sumber inspirasi untuk dirinya terus berusaha ke arah kecemerlangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 1:26 PM