Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Padah tidak serik mencuri, seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan salah dan mensabitkan tertuduh, Farah Munirah Zahari, 34, seperti pertuduhan.

Dalam penghakimannya beliau menimbangkan keseluruhan fakta kes, rekod jenayah dan hujah pendakwaan serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh dia tangkap pada 24 November lalu.

"Farah Munirah, mahkamah hendak ingatkan kamu matlamat tidak menghalalkan cara walau apa sekalipun, kamu kena ingat di Malaysia dan mana-mana negara ada undang-undang.

"Apa yang kamu buat dan kesalahan lampau kamu pun tidak boleh diterima. Saya harap kamu ambil iktibar dan jangan lagi ulangi kesalahan ini pada masa depan," katanya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang mencuri tujuh seluar jenama Kickers, Vior Jean dan Polo Hous BB berharga antara RM59 hingga RM478, sehelai singlet dan tiga kotak seluar dalam lelaki jenama Renoma dengan nilai keseluruhan RM1,256.60 milik pasar raya Aeon Bandaraya Melaka, pada 24 November lalu, kira-kira jam 1.50 tengah hari.

Dia dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda. Bagi kesalahan kedua atau kemudiannya hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Mengikut fakta kes, pengawal keselamatan (pengadu) ternampak tertuduh dalam keadaan mencurigakan membawa beg galas dan keluar melalui bahagian baju kanak-kanak tanpa membuat bayaran.

Penggera berbunyi dan tertuduh yang cuba melarikan diri berjaya ditangkap oleh pengadu di hadapan lif sebelum pemeriksaan menemui 11 barangan di dalam beg itu yang diambil tanpa bayaran.

Terdahulu, Farah Munirah yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan kerana menanggung tiga anak kecil dan ibunya yang menghidap kanser dan menjalani rawatan kimoterapi.

Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa'ari yang menjalankan pendakwaan bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan mengambil kira tertuduh mempunyai dua rekod lampau membabitkan kesalahan sama.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku atas tuduhan berasingan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2003) iaitu memberikan kepada diri sendiri dadah heroin pada hari ditangkap.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan kes disebut semula pada 10 Januari depan bagi mendapatkan laporan patalogi dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 3:38 PM