FOO Seng An dibawa ke Mahkamah Majistret Rembau, hari ini. FOTO Ahmad Hasbi
FOO Seng An dibawa ke Mahkamah Majistret Rembau, hari ini. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Rembau: "Kamu sepatutnya melaporkan kejadian ini kepada polis, jadi sepatutnya kamu adalah mangsa dan bukan yang dituduh hari ini. Tindakan kamu membenarkan 'scammer' menggunakan akaun kamu menggalakkan sindiket meluaskan kesalahan," kata Majistret Kartini Kasran.

Teguran itu dibuat Mahkamah Majistret Rembau, hari ini, terhadap tindakan tertuduh, Foo Seng An, 32, yang membenarkan akaun banknya digunakan penjenayah untuk pemindahan wang pemerasan daripada mangsa video lucah yang dirakam sindiket.

Terdahulu, tertuduh yang juga pekerja binaan mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan, gagal memberi penjelasan yang memuaskan mengenai wang berjumlah RM1,500 dalam akaun banknya, bulan lalu.

Menurut pertuduhan, dia gagal memberi penjelasan memuaskan bagaimana wang sejumlah RM1,500 dari akaun milik seorang lelaki iaitu rakan kepada pengadu yang berusia 27 tahun boleh ditemui di dalam akaun bank miliknya.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Lorong Kelicap Mutiara Perdana, Bayan Lepas, Pulau Pinang, pada 10.15 pagi 10 Julai lalu.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Dalam hujahan pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya Yap Tsu Sheng, memaklumkan tertuduh juga adalah mangsa sindiket peras ugut yang mahu menyebarkan video lucahnya dengan memberi pilihan sama ada terus membayarkan wang atau membenarkan akaun bank digunakan.

"Apabila gambar-gambar video lucah dirakam, mangsa akan diperas ugut untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank. Hasil siasatan polis mendapati tertuduh sebenarnya mangsa sindiket yang diperas ugut dan diberikan pilihan sama ada memberi duit atau membenarkan akaun bank digunakan scammer," katanya.

Tsu Sheng memohon hukuman maksimum sebagai pengajaran kepada masyarakat dan menghapuskan jenayah berkenaan di Malaysia.

Menurut fakta kes, pada 10 Julai lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun menerima mesej daripada nombor tidak dikenali memaklumkan merakam perbuatan mangsa melakukan onani dan mahu menyebarkannya di laman sosial sekiranya enggan membayar wang berjumlah RM1,500.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya diberi hukuman berbentuk denda yang minimum kerana tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menyara isteri dan empat anak serta seorang ibu.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM1,000, jika gagal bayar penjara empat bulan. Tertuduh membayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 12:30 PM