Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Ibu tunggal dihukum penjara lapan bulan dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini kerana mencuri 147 produk kecantikan dan kesihatan bernilai RM13,002.23 demi membayar hutang.

Sazila Isa, 40, dari Petaling Jaya, Selangor dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan yang berlangsung berasingan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni dan Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut tiga pertuduhan di hadapan Khairunnisak, tertuduh didakwa mencuri 115 unit pelbagai jenis barang kecantikan dan kesihatan bernilai RM9,710.48.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Guardian Pharmacy, Kipmall Melaka pada 4.40 petang, 29 April 2023; Guardian Pharmacy di Jalan Bunga Raya pada 4.40 petang 26 Julai 2023 dan 6 September 2023.

Tertuduh juga didakwa mencuri 32 produk kecantikan bernilai RM3,291.75 di Guardian di Mahkota Parade pada 8.15 malam, 26 Julai 2023, dengan semua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar dan Nor Asnini Kamarudin, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Izzuddin Ab Malek.

Berdasarkan fakta kes, kecurian disedari pengadu selepas mendapati stok kosmetik dan kesihatan di rak jualan berkurangan, namun tiada rekod jualan.

Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis masing-masing mendapati tertuduh mengambil pelbagai barangan berkenaan sebelum dimasukkan ke dalam beg kitar semula dan keluar tanpa membuat bayaran.

Susulan laporan, tertuduh ditahan polis di Taman Dato Harun, Petaling Jaya, Selangor pada 9 Sept lalu.

Menurut Muhammad Izzuddin, tertuduh adalah ibu tunggal yang menyara empat anak termasuk seorang OKU mental dan hanya bergantung zakat RM400 sebulan.

"Saya difahamkan tertuduh mencuri barangan berkenaan untuk dijual bagi melangsaikan hutang," katanya ketika merayu mahkamah meringankan hukuman tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 4:07 PM
Tertuduh, Sazila Isa dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,500 atas kesalahan mencuri 147 produk kosmetik bernilai lebih RM13,000. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Tertuduh, Sazila Isa dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,500 atas kesalahan mencuri 147 produk kosmetik bernilai lebih RM13,000. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad