AMIRUDIN dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran HALALSEL ketika Sidang DUN Selangor. FOTO Ruwaida Md Zain
AMIRUDIN dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran HALALSEL ketika Sidang DUN Selangor. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pakatan Harapan (PH) Selangor tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Selangor yang dijangka pada pertengahan tahun depan.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PH Selangor sentiasa bersedia sama terpaksa menghadapi PRN bersendirian atau bergabung dengan parti lain.

"Kita kini ke arah perbincangan dengan rakan kongsi kita (BN) dan yang penting sebagaimana pilihan raya lepas strateginya adalah strategi kemenangan.

"Kalau ada persefahaman (dengan BN) sudah pasti sebab kita ingin meneruskan apa berlaku di Pusat. Pasti formula pusat itu ada nilai kestabilan, walaupun Selangor sudah cukup stabil, tapi kita tidaklah besar kepala atau bersikap tamak haloba, kalau ada ruang perbincangan kita bincang.

"Saya berharap dapat mengekalkan Selangor, kalau terpaksa sendirian kita sendirianlah. Kalau dapat gabungan dari rakan lain mungkin boleh membantu kita di beberapa kerusi lagi... kita terbuka untuk perbincangan kerjasama PRN akan datang," katanya ketika ditanya mengenai kerjasama dengan BN dalam PRN tahun depan.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran HALALSEL ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Pada masa sama, ditanya mengenai status ketua pembangkang Selangor memandangkan kini BN adalah sebahagian dari Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat, Amirudin berkata, setakat ini tiada perubahan akan dilakukan.

"Kita ada enam bulan saja, kita boleh datang satu kali lagi sidang DUN iaitu Mac, jadi maknanya kalau ada perubahan ketua pembangkang ia tidaklah begitu signifikan.

"Daripada habiskan masa susun kerusi DUN lebih baik kita aturkan perbincangan bagaimana hendak berdepan dengan kerusi dalam PRN, perbincangan kerusi lebih baik daripada ubah kerusi dalam dewan.

"Kalau ada arahan esok, kita boleh tukar tiada masalah, kita boleh aturkan. Kita masih belum dapat menetapkan bagaimana (Kabinet) kerajaan Pusat," katanya.

Sementara itu katanya, beliau lebih cenderung kekal di Selangor ketika ditanya jika mendapat tawaran untuk membarisi Kabinet di kerajaan Pusat.

"Setakat ini saya masih lagi 'prefer' untuk memastikan kemenangan PH dalam PRN Selangor ini. Jadi saya tak ambil peduli posisi di pusat dan sebagainya.

"Fokus saya sebagai Pengerusi PH Selangor, Menteri Besar.. saya akan 'deliver' untuk pastikan PH menang, mendapat majoriti dan kedudukan stabil sebagaimana yang kita capai tiga penggal lalu. Kalau tanya, saya prefer untuk kekal di Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 3:57 PM