Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis berjaya membongkar kegiatan sindiket samun yang menyamar sebagai anggota polis di beberapa lokasi di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Melaka dengan penahanan seramai sembilan individu warga asing dan tempatan.

Mereka ditahan susulan aduan daripada mangsa warga Bangladesh yang mendakwa disamun beberapa lelaki berhampiran kedai pengurup wang di Jalan Penang, di sini, pada jam 4 petang, 13 November lalu dengan kerugian membabitkan RM14,800.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, berikutan aduan itu, satu operasi dilakukan dan polis berjaya menahan sembilan suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun.

"Mereka terdiri daripada seorang lelaki tempatan serta tujuh lelaki dan satu wanita warga asing.

"Mereka ditahan di sekitar Georgetown kerana disyaki terbabit dalam kes samun di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Melaka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah manakala suspek lelaki tempatan mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.

Katanya, siasatan mendapati kesemua suspek menjalankan aktiviti jenayah samun bermula tahun ini yang mana kebanyakan mangsa ialah warga asing.

"Suspek warga asing ini akan menahan mangsa warga asing yang lain, kemudian mengugut dan menyamun serta mendakwa mereka adalah anggota penguatkuasa.

"Mereka memiliki wajah seperti orang tempatan dipercayai membolehkan suspek menyamar sebagai polis," katanya.

Menurutnya, antara barangan dirampas daripada suspek ialah 13 telefon bimbit, dua pasport, wang tunai berjumlah RM6,265 serta dua kereta yang dipercayai disewa bagi tujuan kegiatan itu.

Katanya, semua suspek direman selama 10 hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, susulan penahanan terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan tujuh kes samun di Pulau Pinang, dua di Kuala Lumpur dan satu di Melaka membabitkan kerugian berjumlah 42,600.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 4:12 PM