Keadaan banjir di Kampung Tersang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Keadaan banjir di Kampung Tersang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seramai 2,701 mangsa banjir daripada 736 ketua isi rumah (KIR) direkodkan sedang berlindung di 46 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Pusat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaporkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati empat sungai di Sarawak masing-masing tiga di Miri dan satu di Bintulu yang bacaan aras air berada di paras bahaya setakat jam 4 petang hari ini iaitu Long Jegan, Long Teru, Marudi dan Sebauh.

"Terdapat 11 sungai bacaan air berada di tahap amaran iaitu Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera, Pahang;

Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat, Selangor; Parit Keliling di Kampung Pasir, Johor Bahru; Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat, Johor.

"Selain itu, tiga lagi sungai di Johor iaitu Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat; Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak dan Sungai Sembrong di Batu 2 Sembrong, Batu Pahat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tiga lagi sungai di Negeri Sembilan iaitu Sungai Linggi di Pekan Linggi, Port Dickson; Sungai Rembau di Titian Bintangir dan Sungai Muar di Kampun Berembang, Kuala Pilah manakala satu di Melaka iaitu Sungai Melaka di Pantai Belimbing, Alor Gajah.

"Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini mengeluarkan Ramalan Cuaca Signifikan bagi tempoh

20 hingga 26 November dan berdasarkan analisis model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 20 hingga 24 November.

"Keadaan ini berpotensi menyebabkan pembentukan garis badai yang membawa bersama ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di negeri Semenanjung," katanya.

Menurut agensi itu, setakat jam 2 petang hari ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut melaporkan tujuh lokasi terkesan kejadian banjir, enam lokasi cerun runtuh, dua lokasi jalan mendap dan dua lokasi yang dimaklumkan terdapat kejadian jambatan rosak atau runtuh menjadikan jumlah keseluruhan adalah 17 lokasi.

"Kejadian ini berlaku di dua daerah di Kedah, Perak (2), Selangor (1), Negeri Sembilan (1), Terengganu (1), Pahang (1), Johor (2), Kelantan (2) membabitkan sembilan jalan persekutuan dan lapan jalan negeri," katanya.

Bagi perkembangan banjir di pusat mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Nadma berkata, seramai 299 orang pengundi di Pahang dan Perak dibantu anggota penyelamat dibawa ke tempat mengundi.

"Laporan diterima Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat setakat jam 12 tengah hari ini mendapati sembilan tempat mengundi yang terkesan banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 5:38 PM