Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Enam negeri masih dilanda banjir yang menjejaskan 13 daerah di Perak, Selangor, Melaka, Johor, Kelantan dan Sarawak.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam berkata, ia membabitkan 1,789 mangsa daripada 511 Ketua Isi Rumah (KIR) yang ditempatkan di 28 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat 4 petang.

Jumlah itu bagaimanapun menurun berbanding 8 pagi tadi yang merekodkan 2,530 mangsa daripada 691 KIR.

"Empat PPS ditutup hari ini iaitu PPS Putat Tujuh dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kual di Pasir Mas, Kelantan; serta PPS Dewan Bagam Nakhoda Omar dan Dewan Hala Cara Baru di Sabak Bernam, Selangor.

"METMalaysia pada 6 petang semalam mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Kemungkinan Banjir Kilat bagi Negeri Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Pahang, Terengganu, Perlis, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Sarawak dan Sabah.

"Bagaimanapun tidak ada laporan kejadian banjir yang signifikan diterima daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) berikutan amaran itu," menurut kenyataan itu.

Sehingga 4 petang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan empat sungai di paras bahaya iaitu tiga di Miri (Sungai Marudi, Long Jegan dan Long Teru), serta satu di Hulu Selangor iaitu Sungai Bernam dekat Kampung Sungai Selisek.

"Terdapat enam sungai di mana bacaan air berada di tahap amaran iaitu Sungai Selangor di Rantau Panjang, Kuala Selangor; Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat, Selangor; Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera, Pahang.

"Sungai Triang di Triang, Bera, Pahang; Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat, Johor dan Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat, Johor," kata kenyataan itu.

Sementara itu Nadma berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 2 petang merekodkan 14 kejadian termasuk lapan lokasi cerun runtuh, dua lokasi jalan mendap dan dua lokasi jambatan rosak/ runtuh.

Semua kejadian membabitkan tujuh jalan persekutuan dan tujuh jalan negeri, masing-masing dua di Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan, manakala satu di Perak, Terengganu serta Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 6:04 PM