JOHAN menyantuni pengundi ketika melakukan walkabout ketika tinjauan sempena Pilihanraya Umum (PRU) ke 15 di sekitar Hulu Langat. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
JOHAN menyantuni pengundi ketika melakukan walkabout ketika tinjauan sempena Pilihanraya Umum (PRU) ke 15 di sekitar Hulu Langat. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Redzuan Muharam


Cheras: "Saya suka bantu orang dan kalau boleh tak nak dengar lagi cerita ada yang duduk atas bumbung akibat banjir," kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hulu Langat, Datuk Johan Abd Aziz.

Johan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih berkata, banyak isu dan permasalahan rakyat cuba diselesaikannya sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Johan, antaranya adalah memperjuangkan projek penempatan banjir dan mengatasi isu yang boleh mengundang bencana berkenaan.

"Jika diberi mandat, saya akan berusaha semaksimum mungkin untuk masukkan bajet dalam mengatasi masalah banjir.

"Mungkin saya ada kekangan kerana ada beberapa perkara di bawah kuasa kerajaan negeri tetapi cuba perjuangkan jika projek itu membawa kepentingan buat rakyat," katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi walkabout dan beramah mesra dengan pengundi Parlimen Hulu Langat di Taman AlamJaya, Batu 9 di sini, hari ini.

Walaupun tidak menyandang jawatan wakil rakyat dalam penggal terdahulu, Johan yang juga Ketua Bahagian Umno Bahagian Hulu Langat mengakui masih menyumbang bakti untuk masyarakat.

"Saya bukan Adun tetapi konsisten berkhidmat untuk masyarakat mengikut apa yang termampu walaupun tiada peruntukan.

"Alhamdulillah, Allah bantu saya dan ada juga minta bantuan sahabat antaranya daripada Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk hantar bantuan barangan keperluan seperti bantal, tilam dan pakaian kepada mangsa banjir.

"Selain penduduk, bantuan diperoleh membantu saya selesaikan masalah 10 buah surau yang terkesan akibat banjir," katanya.

Menurut Johan, dia tidak gentar seandainya ada calon lawan cuba membangkitkan isu banjir sebagai modal untuk mempengaruhi pengundi.

Katanya, ia kerana dirinya bukan asing di Hulu Langat sebaliknya orang tempatan.

"Selama sebulan setengah saya balik rumah 2 pagi selepas banjir besar melanda hujung tahun lalu dan menangis memikirkan ada yang duduk atas bumbung rumah.

"Pengalaman itu mengajar saya dan kini sudah menyediakan 15 bot dengan enjin berkuasa besar juga kecil untuk Kampung Dusun Tua," katanya.

Johan berkata, beberapa isu lain akan diberi tumpuan olehnya di kawasan Parlimen Hulu Langat adalah kegiatan pembalakan, kecurian balak dan saman parkir.

"Kita akan cuba pantau pembalakan selain tangani isu lain termasuk pembuangan sampah dan saman di kawasan parkir.

"Isu parkir misalnya membebankan penduduk khususnya di rumah kos rendah dan kita tahu pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya jalankan tugas tetapi kita cuba bantu yang boleh kerana ada antara penduduk mempunyai banyak saman terkumpul serta tidak boleh membayarnya," katanya.

Parlimen Hulu Langat menyaksikan saingan enam penjuru antara BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air ( Pejuang), Warisan dan calon Bebas.

Pada PRU-14, Parlimen Hulu Langat dimenangi Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH) dengan 49,004 undi menewaskan calon BN Azman Ahmad yang memperoleh 23,580 undi dan Pas Dr Che Rosli Che Mat (15,663 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 4:59 PM