HAZRIQ Haqeem membawa adik kembarnya, Hazril Haqeem ke pusat pengundi di SRA Hulu Langat. FOTO Ihsan Hasnol Hady Sehu Ismail
HAZRIQ Haqeem membawa adik kembarnya, Hazril Haqeem ke pusat pengundi di SRA Hulu Langat. FOTO Ihsan Hasnol Hady Sehu Ismail
Redzuan Muharam


Hulu Langat: "Saya bersama dia (kembar) sejak sembilan bulan dalam kandungan ibu jadi perasaan bangga, gembira dan sebak bercampur baur apabila dapat menemaninya ke pusat pengundian," kata penuntut Diploma Pengurusan Perniagaan Universiti Malaya (UM), Hazriq Haqeem Hasnol Hady.

Hazriq Haqeem, 19, kali pertama mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan istimewanya, dia tidak berseorangan kerana membawa bersama adik kembarnya, Hazril Haqeem, 19, yang dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) Cerebral Palsy.

Pasangan kembar itu mengundi di Sekolah Rendah Agama (SRA) Hulu Langat, di sini bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Dusun Tua, hari ini.

Berkongsi pengalamannya, Hazriq Haqeem mengakui teruja apabila dapat menjadi pengundi buat kali pertama dan menganggap ia sebagai satu pengalaman baru dalam hidupnya.

Bagaimanapun, Hazriq Haqeem berkata, pengalaman itu juga tidak akan dilupakan kerana memberi peluang buatnya menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat negara ini.

"Ini kali pertama saya keluar mengundi dan ikutkan, tak tahu apa patut dilakukan.

"Tetapi saya tahu siapa calon bertanding dan malam tadi sempat kaji apa manifesto mereka kerana tentunya nak pilih calon yang layak dan boleh buat kerja.

"Walaupun kali pertama mengundi, saya berasa istimewa kerana dapat bawa adik kembar menunaikan haknya dan ada kelebihan juga apabila boleh undi dua kali," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, pengalaman itu menjadi pemangkin semangat buatnya untuk keluar mengundi pada pilihan raya yang akan datang.

"Walaupun adik kembar anak istimewa tapi kami berdua rapat.

"Jadi, saya akan terus bersama dan membawanya mengundi lagi nanti kerana hanya ajal saja boleh memisahkan kami," katanya.

Sementara itu, bapanya, Hasnol Hady Sehu Ismail, 49, berkata, dia berasa bangga dan terharu apabila dapat membawa anak kembarnya terutama Hazril Haqeem yang berstatus OKU menunaikan hak sebagai pengundi.

Walaupun bukan mudah membawa anak terlantar ke pusat mengundi, Hasnol Hady bersyukur kerana urusannya dan isteri, Shafarizan Ramly, 47, dipermudahkan.

"Ini (mengundi) hak dia (Hazril Haqeem) sebagai warganegara dan mengikut perlembagaan, dia boleh mengundi.

"Namanya pun ada dalam senarai daftar pemilih jadi dia boleh tunaikan tanggungjawab dan hari ini, abang yang juga kembarnya menjadi wakil.

"Kebetulan, pusat mengundi berhampiran rumah dan setibanya di situ, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membantu sehingga ke bilik mengundi.

"Walaupun duduk di kerusi roda sekurang-kurangnya, Hazril Haqeem dapat peluang pegang kertas undi dan celup jari sebagai simbolik," katanya.

Berkongsi perihal Hazril Haqeem, Hasnol Hady mengakui berat untuknya menerima hakikat anak bongsunya itu dilahirkan sebagai OKU pada awalnya.

"Tahun pertama sukar nak terima tetapi akhirnya saya dan isteri reda serta terima dia (Hazril Haqeem) seadanya malah jadi semakin sayang.

"Kami juga pernah dapat rezeki ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah dan membawanya bersama walaupun ada yang mempersoalkannya.

"Apa pun, saya dan isteri harus cekal kerana yakin Allah membantu kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 5:56 PM