Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berharap semua pihak menerima apa sahaja keputusan yang dibuat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga calon Pas Parlimen Marang berkata, semua pihak termasuk calon dan penyokong perlu bersikap matang dan tidak menimbulkan sebarang provokasi apabila keputusan PRU-15 diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini.

Katanya, suasana tenang dan aman sepanjang tempoh berkempen sebelum ini perlu dikekalkan walau apa juga keputusan yang akan diumumkan nanti.

"Kita manfaatkan amalan demokrasi dengan cara yang beradab dan bersopan. Alhamdulillah saya dapati setakat ini (sepanjang kempen) tidak ada perkara yang tidak diingini di seluruh negara.

"Ini satu keadaan yang baik yang tenang (dan) kita harap suasana yang tenang dan aman ini berterusan walau apa pun keputusan pilihan raya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengundi di Pusat Pembuangan Undi (PPU) di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila di sini, hari ini.

ABDUL Hadi bersama isteri, Toh Puan Zainab Awang Ngah menunjukkan jari yang dicelup dakwat kekal selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, Marang. FOTO Ghazali Kori
ABDUL Hadi bersama isteri, Toh Puan Zainab Awang Ngah menunjukkan jari yang dicelup dakwat kekal selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, Marang. FOTO Ghazali Kori

Abdul Hadi turut mengingatkan semua pengundi di seluruh negara menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Dengan keadaan cuaca yang baik kita harap peratusan keluar mengundi dan kesedaran juga tinggi," katanya.

PRU-15 kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru di Parlimen Marang antara penyandangnya, Abdul Hadi yang ditentang calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman; Pakatan Harapan (PH), Azhar Ab Shukur dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Zarawi Sulong.

Pada PRU-14, Abdul Hadi menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endut dan Zarawi Sulong (PKR) denganmajoriti 21,954 undi.

Ketika itu, Abdul Hadi memperoleh 53,749 undi manakala Mohamad Nor (31,795 undi) dan Zarawi (5,318 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 12:46 PM