Nur Jazlan (kiri) ketika berkempen.
Nur Jazlan (kiri) ketika berkempen.
Omar Ahmad


Johor Bahru : Berbaki tidak sampai 24 jam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengimbau pesanan Allahyarham bapanya, Tan Sri Mohamed Rahmat untuk terus membawa politik khidmat.

Katanya, sejak pertama kali menyandang kerusi Parlimen Pulai pada 2004, dia bertekad untuk membalas segala jasa, pengorbanan dan kepercayaan pengundi yang mengangkatnya sebagai wakil rakyat.

"Saya mahu membalas segala-galanya dengan membawa politik berkhidmat kepada pengundi dan rakyat Pulai.

"Itulah ajaran yang saya warisi daripada Allahyarham bapa saya. Beliau selalu nasihatkan saya supaya jangan mungkir amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat kepada kita. Rakyat pilih kita sebab mereka yakin dan percaya bahawa kita boleh membela nasib dan masa depan mereka. Itulah pesanan Tok Mat Rahmat yang saya pegang sampai hari ini.

"Sebab itulah dalam tempoh 14 tahun menjadi wakil rakyat Pulai, saya sudah sedaya upaya untuk berkhidmat dan membantu masyarakat di sini. Bagi saya setiap undi yang diberikan kepada saya oleh rakyat adalah satu harapan agar saya membantu mereka menyelesaikan apa saja masalah, membela kebajikan dan memberikan masa depan yang baik kepada mereka," katanya dalam hantaran di media sosial, di sini.

Jelas Nur Jazlan, Pejabat BN atau Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat menjadi saksi bagaimana sejarah dan rekod perkhidmatan panjang tercipta.

Katanya, dia bukan bekerja keras seorang diri tapi pasukan, ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri berserta Ketua-Ketua Kampung di Kempas dan Perling sentiasa berusaha memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

"Mungkin sesetengah orang akan cakap saya ni mahu mendabik dada atau angkat diri sendiri tapi sebenarnya itulah hakikatnya dan itulah yang mesti dilakukan oleh seorang wakil rakyat, iaitu membawa politik khidmat kepada rakyat dan bukannya politik ghaib selepas bergelar wakil rakyat.

"YB bermaksud Yang Berkhidmat dan bukannya Yang Bolos. Bila rakyat pilih kita sebagai YB kita kena bertanggungjawab. Bukannya selepas tabur macam-macam janji dan lepas menang terus hilang. Bila rakyat susah, rakyat cari YB tapi YB tidak ada. Pejabat YB berkunci. YB sibuk dengan urusan lain di Kuala Lumpur. Tinggallah rakyat terkontang-kanting hilang tempat mengadu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 9:25 AM