Hazira Ahmad Zaidi


Machang: UMNO Kelantan akan menyerahkan nama calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi esok.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, nama calon yang dihantar itu membabitkan 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 Parlimen di seluruh Kelantan mengikut pandangan dan cadangan yang diputuskan dalam mesyuarat ahli jawatankuasa UMNO Bahagian.

Katanya, seramai 73 calon dikemukakan untuk kerusi Parlimen dan 232 calon untuk kerusi DUN yang mana bagi kerusi yang sudah ada wakil rakyat daripada UMNO akan mengemukakan lima calon, manakala enam nama bagi kerusi-kerusi yang tiada wakil rakyat.

"Selebihnya terpulang kepada Presiden parti untuk meneliti dan melihat lima nama yang dipilih samada mereka sesuai ataupun tidak kerana calon-calon ini terdiri daripada pelbagai peringkat dan latar belakang termasuklah dalam golongan agamawan, pendidikan, profesional serta politik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perasmian Gabungan Silaturahim Veteran ATM Malaysia di Kampung Jenereh Bongkok, Pulai Chondong, di sini, hari ini yang turut dihadiri Presiden Gabungan Silaturahim Veteran ATM, Shamsuddin Mamat.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan berkata, Majlis Tertinggi (MT) sudah membuat keputusan memecat mantan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah pada September lalu yang disifatkan sebagai pengkhianat parti.

"Jadi, pemecatan ini disifatkan pengkhianat parti dan setakat ini Bahagian Tanah Merah masih lagi digantung.

"Dalam soal ini, kita mewujudkan jawatankuasa khas bagi menyiasat salah laku menerusi pemutihan yang dijalankan secara berterusan oleh UMNO Kelantan terutama apabila menerima aduan pengkhianatan oleh ahli-ahli parti.

"Apa yang penting dalam parti ini kesetiaan serta kepatuhan kepada parti dan sekiranya tidak ada sikap berkenaan, sewajarnya mereka ini dipecat kerana bimbang akan berlaku mudarat yang lebih besar kepada parti," katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa khas dibentuk adalah untuk menyiasat aduan dan tidak menerima tuduhan secara melulu, sebaliknya ia perlu disiasat terlebih dahulu untuk berlaku adil dalam soal.

PENGERUSI Perhubungan Umno Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
PENGERUSI Perhubungan Umno Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 3:57 PM