Mohamed Farid Noh dan Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kayat akan bertanding buat kali ketujuh dalam pilihan raya negara, apabila namanya sekali lagi diumum sebagai bakal calon, hari ini.

Beliau dinamakan untuk mewakili gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, 9 September ini.

Pengumuman itu dibuat Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu pada Majlis Pengenalan Calon PH-BN di sini, yang turut menamakan Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Ir Nazri Abdul Rahman sebagai calon PRK Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram.

Majlis turut dihadiri tiga Naib Presiden Amanah, Adly Zahari; Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa serta Pengerusi Amanah negeri Aminolhuda Hassan.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT); Setiausaha DAP Johor Andrew Chen Kah Eng dan Timbalan Pengerusi PKR, Jimmy Puah Wee Tse.

Suhaizan, 50, percaya pemilihannya dibuat kepimpinan parti bersandarkan kedudukannya di kawasan Pulai dan khidmat sebagai Setiausaha Politik bagi penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau juga yakin menerima sokongan padu daripada rakan gabungan parti untuk menghadapi pilihan raya itu.

"Selepas Allahyarham (Salahuddin) meninggal dunia, orang pertama saya jumpa dalam Pulai adalah Nur Jazlan. Kita jumpa sebab kita sudah lama bersama, tetapi dalam platform berbeza, ini kali pertama (gabungan).

"Selain Nur Jazlan, saya juga bertemu kepimpinan Umno negeri, mereka menunjukkan komitmen yang sangat baik," katanya.

Sementara itu, Nazri, 56, berkata, yakin menerima sokongan pengundi berikutan pengaruhnya sebagai anak jati kawasan Simpang Jeram dan pengalaman bersama Salahuddin ketika menyantuni rakyat.

"Saya adalah anak jati yang duduk di situ hampir 56 tahun, sudah pasti penduduk kawasan gembira kerana saya tahu selok belok di kawasan Simpang Jeram.

"Misi dan visi yang sudah diatur oleh Allahyarham (Salalhuddin) akan saya teruskan terutamanya berkaitan dengan inisiatif Rahmah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 5:36 PM