SYED Mohd Johan Rizal. FOTO arkib NSTP
SYED Mohd Johan Rizal. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pemimpin PKR diminta berhenti menjadikan Parlimen Alor Setar sebagai kerusi 'pelancongan' mereka dengan menghantar orang luar sebagai calon.

Ketua Pemuda Umno Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, ahli politik nomad hanya menjadikan pengundi sebagai mangsa kerana mereka sukar berada di kawasan terutama apabila khidmat mereka diperlukan.

Katanya, ia akhirnya menyebabkan pengundi tidak mendapat manfaat daripada wakil rakyat yang dipilih.

"Seperti Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering berpindah-randah kerusi Parlimen, begitu juga dilakukan PKR terhadap kerusi Parlimen Alor Setar. PKR menjadikan Parlimen Alor Setar sebagai kerusi 'pelancongan' ahli politik mereka.

"Bekas Ahli Parlimen Alor Setar daripada PKR, Chan Ming Kai yang mengumumkan tidak mempertahankan kerusi, bukan anak tempatan. Beliau berasal dari Perak bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Pulai, di Perak pada 2008 sebelum berpindah menjadi Adun Indera Kayangan di Perlis pada pilihan raya umum 2013.

"Begitu juga Ahli Parlimen PKR sebelum ini, Gooi Hsiao Leung. Beliau orang Pulau Pinang yang dibawa ke Parlimen Alor Setar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Syed Mohd Johan yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda Umno berkata, keadaan itu seolah-olah wakil PKR adalah 'pelancong' yang yang sering berpindah-randah ke sesuatu kawasan, bukannya mengutamakan rakyat di kerusi yang diwakili.

"Pengundi dan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini harus buka mata memilih siapa yang berkhidmat dan siapa yang hanya setakat 'tangkap muat' memenuhi kerusi Ahli Parlimen.

"Saya mendapat maklumat, akan ada 'pelancong politik' baru dibuang ke Alor Setar untuk PRU-15 ini. Kita perlukan wakil tempatan yang mengenali sepenuhnya orang Alor Setar dan menyeru pengundi Alor Setar menolak mereka kali ini.

"Semasa BN menang Parlimen Alor Setar sehingga PRU-12, ia diwakili orang tempatan, iaitu Datuk Chor Chee Heung, yang sepenuh masa menumpukan tenaga berkhidmat, dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat dan bangsa. Hanya BN yang tetap setia memperjuangkan kepentingan orang Alor Setar, "katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 1:05 PM