Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu rakaman video tular yang memaparkan seorang lelaki menunjukkan gari kepada sekumpulan kanak-kanak di persimpangan lampu isyarat di Jalan Coastal di sini.

Rakaman video melalui aplikasi TikTok berdurasi 24 saat itu tular sejak semalam.

Ia memaparkan lelaki itu menunjukkan gari kepada kumpulan kanak-kanak terbabit untuk menakut-nakutkan mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan, video itu dimuat naik di akaun TikTok atas nama '@Penjahat96' dan tidak dapat dipastikan tujuannya.

Namun katanya, tindakan itu boleh mendatangkan kegusaran dan kebimbangan kepada orang ramai yang melihat rakaman video berkenaan.

"Siasatan diteruskan untuk mengenal pasti suspek yang memiliki gari dan pemilik akaun TikTok berkenaan.

"Polis mengingatkan orang awam bahawa menjadi satu kesalahan jika memiliki peralatan-peralatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti gari dan sebagainya," katanya pada kenyataan hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan rakaman video itu diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi talian 088-529222.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 3:51 PM