VIDEO yang tular di media sosial. FOTO tular
VIDEO yang tular di media sosial. FOTO tular
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seorang lagi individu akan diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan seorang anggota polis memeras ugut warga China dalam sekatan jalan raya di Bulatan Dato Onn, di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, siasatan berhubung kes berkenaan masih lagi berjalan.

"Polis akan memanggil seorang lagi individu bagi dirakam percakapan dan membantu siasatan kes berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, polis sudah selesai mengambil keterangan lima individu berhubung dakwaan berkenaan.

Anggota polis berkenaan adalah antara lima individu yang diambil keterangan, selain akan memanggil dua lagi individu untuk membantu siasatan.

Terdahulu, satu rakaman video dimuat naik di akaun TikTok sebelum tular di media sosial lain, memaparkan seorang wanita sedang mengulas isu berkenaan dalam bahasa Cina bersama sedikit sedutan rakaman kejadian.

Menerusi kapsyen yang disertakan bersama video itu, anggota polis terbabit didakwa memeras RM200 ke atas seorang pelancong wanita dari China kerana tidak membawa pasportnya, yang kononnya ditinggal di hotel.

Rakaman video kejadian itu juga dikatakan sudah tular di negara asal pelancong wanita terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 4:47 PM