GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan pengasas produk kecantikan bagi membantu siasatan berhubung video tular memaparkan seorang lelaki mencium bibir kanak-kanak lelaki.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, lelaki terbabit ditahan susulan laporan dibuat seorang individu.

"Suspek hadir ke sebuah balai polis di ibu negara untuk memberi kerjasama dan dia kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

"Siasatan lanjut kini masih dijalankan dan suspek masih dalam tahanan polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Semalam, video berkenaan tular dengan memaparkan seorang lelaki mencium bibir kanak-kanak yang didakwa sebagai adik angkatnya.

Menerusi carian pengguna media sosial, pengasas produk kecantikan terbabit memuat naik beberapa video yang memaparkan perilaku sedemikian menerusi akaun TikTok yang kini sudah dinyahaktif.

Susulan itu polis bertindak mengesan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 1:45 PM