KEADAAN rumah Suremi Rasidin yang musnah dalam kebakaran di Taman Desa Jaya di sini petang semalam. FOTO Mary Victoria Dass
KEADAAN rumah Suremi Rasidin yang musnah dalam kebakaran di Taman Desa Jaya di sini petang semalam. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Pasangan suami isteri warga emas tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka terbakar di Jalan Lembah 37, Taman Desa Jaya di sini, semalam.

Mangsa Suremi Rasidin, 74, berkata ketika kejadian kira-kira jam 4 petang itu dia dan isteri, Murti Tukimin, 70, tiada di rumah kerana ada urusan di luar dan dalam perjalanan pulang.

Menurutnya, dia dimaklumkan berkaitan kejadian itu oleh anak saudara yang tinggal berhampiran rumah.

"Kami tidak pasti sama ada rumah disambar petir atau berlaku litar pintas namun ada jiran mendakwa terdengar petir sebelum melihat kepulan asap dari rumah kami.

"Saya menjangka kejadian itu hanya membabitkan ruangan kecil di tingkat dua rumah namun saya sedih dan terkilan mendapati semua barangan kami rosak selain bilik di tingkat dua juga musnah," katanya.

Suremi berkata, kejadian menyebabkan dia kerugian kira-kira RM100,000 namun bersyukur kerana ia tidak membabitkan kemalangan jiwa dan api juga tidak marak ke rumah jiran.

Suremi berkata, dia bersyukur kerana anak perempuan sulungnya yang tinggal berhampiran menawarkan tempat tinggal selain dua anak turut membantu meringankan beban.

Menurutnya, dia juga menghargai keprihatinan pengurusan masjid berhampiran, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Azizul Bachok yang mengunjunginya serta sumbangan barangan keperluan bernilai RM1,000 daripada Pasaraya Econsave Cash & Carry.

Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash & Carry, Mas Imran Adam berkata, pihaknya berharap sumbangan itu digunakan sebaik mungkin oleh mangsa kebakaran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 3:46 PM