Dazar (tengah) menerima sumbangan  Econsave disampaikan Mas Imran (tiga dari kiri) dan wakil Kelab Media Johor di kediamannya, semalam.
Dazar (tengah) menerima sumbangan Econsave disampaikan Mas Imran (tiga dari kiri) dan wakil Kelab Media Johor di kediamannya, semalam.
HM Digital

Batu Pahat: “Saya pernah melawat puluhan orang kurang bernasib baik ketika membuat liputan media dan pengalaman berkenaan membantu saya tabahkan hati berdepan dugaan Allah,” kata bekas jurugambar sambilan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Johor, Dazar Suarman, 70, ketika ditemui, semalam.

Katanya, dia memikul tanggungjawab menyara isteri, Rufiah Karsan, 67, dan seorang anak kurang upaya (OKU), Sariah, 36.

Dazar berkata, dia menyara insan kesayangan itu bergantung kepada pencen bulanannya sebagai pesara polis sebanyak RM1,700.

“Lebih 50 peratus pencen saya dibelanjakan membeli makanan tambahan, ubat dan keperluan anak OKU.

“Isteri saya yang juga bekas pesakit kanser payu dara dikesan mengalami masalah tiroid sejak tahun lalu dan menjalani rawatan pesakit luar di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI),” katanya.

Menurutnya, dia lega Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menawarkan bantuan bulanan bagi menampung kos perubatan isteri dan anak.

Dazar berkata, dia terharu nasibnya menerima perhatian kenalan, rakan dari NSTP, Kelab Media Johor (KMJ), wakil sukarelawan dan Pasaraya Econsave Cash and Carry.

“Sebelum ini saya pernah menjejak puluhan keluarga daif dan kurang berkemampuan untuk membuat liputan. Tidak sangka kini saya pula menerima kunjungan warga prihatin sempena Ramadan dan saya bersyukur,” katanya di rumahnya di Kampung Sungai Dulang Darat, Rengit, Batu Pahat.

Sumbangan barangan keperluan bernilai RM1,000 disampaikan Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Cash And Carry Wilayah Selatan Mas Imran Adam.

Hadir sama sukarelawan Salim Daud, Ketua Biro NSTP Johor Junita Mat Rashid dan Setiausaha KMJ Surahati Hassan.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan kepada Dazar di akaun Maybank 1515 9309 3317.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 9:30 AM